GAZA, 9 September - Puluhan penduduk Palestin berhimpun di Dataran al-Saraya, Gaza bagi membantah arahan pemindahan yang dibuat israel melalui risalah yang dijatuhkan dari udara.
Mereka melaungkan slogan, mengibarkan bendera Palestin serta mengangkat sepanduk menolak perpindahan paksa.
Pensyarah Universiti Al-Azhar, Dr. Yehia al-Madhoun menegaskan rakyat Gaza tetap berpegang kepada tanah air mereka.
“Kami di Gaza berada dalam keadaan sabar dan teguh. Bandar Gaza yang indah ini akan kekal berdiri. Kami tidak akan meninggalkan Gaza, biarpun terkorban, kami tidak akan pergi,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Karam Jarada pula berkata rakyat hanya mahukan kehidupan bermaruah.
“Kami akan tetap di sini di Gaza seperti pohon zaitun kekal di bumi Palestin. Kami akan mati berdiri dan hanya tunduk kepada Allah,” ujarnya.
Arahan pemindahan itu menimbulkan panik dalam kalangan penduduk yang mendakwa tiada tempat selamat untuk dituju kerana kawasan selatan turut menjadi sasaran serangan.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan Hospital al-Shifa dan al-Ahli akan dipindahkan, namun doktor tidak akan meninggalkan pesakit tanpa pengawasan.
Sejak perang tercetus pada Oktober 2023, hampir keseluruhan penduduk Gaza telah dipindahkan berulang kali, manakala sebahagian besar wilayah musnah dan krisis kebuluran semakin meruncing.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 64,000 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan israel, manakala jutaan lagi terpaksa hidup berpindah-randah dalam khemah di kawasan sesak seperti al-Mawasi di selatan.