ADDIS ABABA, 9 September - Ethiopia hari ini merasmikan Empangan Renaissance Ethiopia Besar (GERD), menandakan siapnya projek hidroelektrik terbesar di Afrika selepas 14 tahun pembinaan.
Empangan GERD dengan kapasiti terpasang 5.15 gigawatt kini menjadi loji janakuasa hidroelektrik terbesar di Afrika dan antara 20 terbesar dunia. Projek bernilai AS$5 bilion itu dibiayai sepenuhnya daripada sumber tempatan, sekali gus menjadi simbol kebanggaan lebih 120 juta rakyat Ethiopia.
Empangan tersebut dijangka menggandakan pengeluaran elektrik Ethiopia, sekali gus menerangi kediaman, menggerakkan industri dan mengangkat komuniti keluar daripada kemiskinan tenaga. Ketika ini, sekitar 45 peratus penduduk negara itu masih belum mendapat akses kepada elektrik.
Majlis perasmian di Guba disempurnakan Perdana Menteri, Abiy Ahmed yang menegaskan empangan itu dibina untuk "mencipta kemakmuran, membekalkan tenaga ke seluruh rantau dan mengubah sejarah orang kulit hitam" serta "bukan untuk memudaratkan saudara serantau."
Takungan GERD meliputi kawasan lebih luas berbanding Greater London, selain berfungsi membekalkan air untuk pengairan, mengawal banjir dan menangani kemarau.
Namun begitu, projek itu terus mencetuskan ketegangan dengan negara hilir, Mesir dan Sudan. Mesir menganggap empangan berkenaan sebagai ancaman kewujudan kerana bergantung hampir 97 peratus kepada Sungai Nil untuk keperluan air.
Walaupun panel bersama ditubuhkan bagi membincangkan perkongsian air Sungai Nil Biru, ketegangan masih memuncak apabila Kaherah menolak apa yang disifatkan sebagai keputusan unilateral Addis Ababa.
Kajian bebas setakat ini menunjukkan tiada gangguan besar kepada aliran air hilir, sebahagiannya disebabkan hujan yang menggalakkan dan kaedah pengisian takungan secara berhemah.
Bagi rakyat Ethiopia, GERD adalah lambang perpaduan dan pencapaian, apabila mereka turut menyumbang melalui pembelian bon dan derma sehingga merealisasikan projek kejuruteraan mega tersebut.-REUTERS