KATHMANDU, 9 September - Protes di Nepal bertukar ganas apabila polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang berhimpun di Kathmandu dan beberapa lokasi lain, meskipun perintah berkurung tanpa had masa telah dikuatkuasakan.
Keganasan itu berlaku sehari selepas 19 orang terbunuh dan lebih 100 cedera dalam protes dikenali sebagai "Gen Z" yang tercetus berikutan larangan media sosial sejak Jumaat lalu.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri K.P. Sharma Oli pada Isnin menarik balik larangan berkenaan selepas tekanan semakin memuncak. Oli kemudiannya mengumumkan peletakan jawatan pada Selasa.
Bagaimanapun, kemarahan rakyat terus memuncak dengan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan Parlimen serta beberapa kawasan di ibu kota.
Mereka melempar batu ke arah pasukan keselamatan dan membakar tayar sehingga menyebabkan sebahagian besar kota Kathmandu diselubungi asap. Rakaman dron turut menunjukkan jalan-jalan utama yang lengang dengan asap tebal dari lokasi protes. - REUTERS