fb fb fb fb fb

Armani disemadikan dalam majlis pengebumian tertutup

Kenderaan membawa keranda pereka fesyen legenda Itali, Giorgio Armani, meninggalkan Gereja San Martino selepas majlis pengebumian tertutup di Rivalta, Itali / REUTERS

RIVALTA, 9 September - Pereka fesyen legenda Itali, Giorgio Armani, 91, disemadikan dalam majlis pengebumian tertutup di gereja San Martino, Rivalta semalam, dihadiri ahli keluarga terdekat, rakan sekerja dan kenalan rapat.

Upacara itu diadakan kira-kira 100 kilometer dari Milan, berdekatan Piacenza, tempat kelahiran Armani.

Menurut laporan media Itali, mendiang akan dikremasi sebelum abunya dikebumikan di sebuah makam keluarga di Rivalta yang turut menempatkan jenazah ibu bapa serta abang sulungnya, namun perkara itu belum disahkan secara rasmi.

Sebagai tanda penghormatan, semua butik Armani ditutup pada sebelah petang, manakala Milan dan Piacenza turut mengisytiharkan hari berkabung.

“Kami mengucapkan selamat tinggal kepadanya sebagai keluarga dan kemudian meneruskan kehidupan seperti yang dia mahukan. Segala-galanya sudah tersedia untuk mengenangnya melalui fesyennya,” kata pasangan hidupnya, Pantaleo Dell’Orco yang dipetik akhbar Corriere della Sera.

Armani meninggal dunia minggu lalu selepas lebih lima dekad membina empayar fesyen global merangkumi haute couture, aksesori, sehinggalah perabot rumah, sekali gus menjadikan namanya sinonim dengan gaya ringkas namun elegan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE