fb fb fb fb fb

China terima pesawat penyelamat perubatan C909 pertama

Pesawat penyelamat perubatan C909 China mampu membawa muatan maksimum 10 tan, dengan jarak penerbangan 3,700 kilometer, serta boleh beroperasi dari lapangan terbang beraltitud tinggi

ZHENGZHOU, 9 September - Pesawat penyelamat perubatan C909 pertama diserahkan kepada China Flying-Dragon General Aviation Co., Ltd. di Zhengzhou, Henan, semalam, menandakan pencapaian penting dalam pembangunan pesawat komersial keluaran tempatan China.

Dibangunkan oleh Commercial Aircraft Corporation of China, Ltd. (COMAC), pesawat itu mampu membawa muatan maksimum 10 tan, dengan jarak penerbangan 3,700 kilometer, serta boleh beroperasi dari lapangan terbang beraltitud tinggi.

Ruang kabinnya boleh dikonfigurasi semula bagi pelbagai keperluan misi termasuk mengangkut pasukan perubatan, memberi bantuan ke kawasan terpencil, serta membawa pesakit kritikal.

“Pesawat ini ibarat hospital bergerak, yang mampu melaksanakan pengangkutan kecemasan, latihan perubatan malah prosedur pembedahan tertentu di udara. Ia meluaskan sempadan perkhidmatan kesihatan dan menjamin kebajikan rakyat,” kata Timbalan Pengarah Pemasaran dan Jualan COMAC, Yang Yang.

Sebagai syarikat penerbangan am tempatan pertama yang diluluskan Pentadbiran Penerbangan Awam China, Flying Dragon kini mengendalikan operasi penyelamat kecemasan, rondaan polis, tinjauan udara dan pengangkutan jarak dekat.

Pada hari sama, Zhengzhou turut menyaksikan pelancaran pakatan perubatan penerbangan, menghimpunkan lebih 40 ahli daripada sektor kesihatan, penerbangan, pembuatan, insurans dan perkhidmatan awam.

Pakatan itu dijangka memperluas penggunaan pesawat C909 dalam perkhidmatan perubatan udara, sekali gus menyokong sistem kesihatan awam dan tindak balas kecemasan negara.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE