TUNIS, 9 September - Ahli Global Sumud Flotilla (GSF) menegaskan mereka tetap akan berlayar menuju Gaza, walaupun mendakwa salah sebuah kapal mereka diserang dron di perairan Tunisia.
Aktivis Portugal, Miguel Duarte yang berada di atas kapal ketika insiden itu mendakwa melihat dron menjatuhkan bahan letupan di atas dek sehingga mencetuskan kebakaran.
“Kami nampak dron berada hanya beberapa meter di atas kepala, kemudian ia menjatuhkan bom di atas timbunan jaket keselamatan. Berlaku letupan dan api, tetapi kami berjaya memadamkannya,” katanya.
Aktivis Palestin, Saif Abukeshek pula menegaskan misi GSF akan tetap diteruskan.
“Tiada apa yang akan menghentikan kami. Dalam beberapa hari lagi flotila akan bersatu di laut untuk memecahkan sekatan, menamatkan pembunuhan beramai-ramai, dan berdiri bersama rakyat Palestin,” katanya.
Seorang lagi ahli GSF, Wael Nawar, mengesahkan kapal terlibat masih boleh beroperasi selepas kerja pembaikan kecil.
Namun, Kementerian Dalam Negeri Tunisia menafikan dakwaan serangan dron berkenaan, sebaliknya menyatakan kebakaran berpunca daripada kapal itu sendiri. - REUTERS