DOHA, 9 September - Media negara haram israel melaporkan bahawa serangan di Doha pada Selasa kononnya menyasarkan beberapa pemimpin kanan Hamas termasuk Ketua Hamas Gaza, Khalil al-Hayya.
Saksi Reuters melaporkan beberapa letupan menggegarkan kawasan Katara di ibu negara Qatar, dengan asap tebal kelihatan di udara. Al Jazeera yang memetik sumber Hamas pula mengesahkan serangan itu menyasarkan pasukan perunding Hamas, yang sedang berada di Doha.
Tindakan israel itu dilihat sebagai cubaan menggagalkan usaha gencatan senjata, sekali gus memperlihatkan keengganannya menghentikan perang di Gaza.
Khalil al-Hayya, 64, kini menjadi wajah utama Hamas selepas pembunuhan Ismail Haniyeh pada 2024. Beliau terkenal dengan kenyataan tegas menolak kompromi yang menurutnya hanya menyebabkan perang berlanjutan, pembunuhan dan kebuluran rakyat Palestin.
“Kami tidak akan menjadi sebahagian daripada perjanjian separuh masak yang melanjutkan peperangan dan kebuluran,” tegasnya dalam ucapan pada April lalu.