fb fb fb fb fb

Qatar kecam serangan zionis di Doha

Penyampai berita TV Qatar membacakan kenyataan kerajaan mengecam serangan israel di Doha.

DOHA, 9 September - Kerajaan Qatar mengecam sekeras-kerasnya serangan rejim israel yang menyasarkan pemimpin Hamas di Doha dan menyifatkannya sebagai tindakan pengecut serta pencabulan secara terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.

Dalam kenyataan rasmi yang dibacakan di Qatar TV, kerajaan menegaskan serangan itu merupakan ancaman serius terhadap keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.

“Serangan jenayah ini adalah pelanggaran nyata terhadap semua undang-undang antarabangsa dan ancaman kepada keselamatan serta kedaulatan Qatar. Negara Qatar menegaskan tidak akan berdiam diri terhadap tingkah laku israel yang melulu,” kata kenyataan itu.

Menurut sumber Hamas kepada Reuters, beberapa anggota pasukan perunding gencatan senjata Hamas terselamat daripada serangan berkenaan.

Israel mendakwa serangan itu menyasarkan pemimpin kanan Hamas termasuk Ketua Hamas Gaza, Khalil al-Hayya, yang juga perunding utama gencatan senjata.

Tindakan zionis ini mencetuskan kebimbangan baharu kerana Qatar sebelum ini menjadi pengantara penting bersama Mesir, dalam usaha memeterai perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan perang yang hampir dua tahun melanda Gaza. - REUTERS

TUN JULIA MOHD TAHIR