fb fb fb fb fb

Zheng Yanxiong dilantik wakil tertinggi China di Hong Kong

(Zheng Yanxiong telah dilantik sebagai wakil tertinggi China di bandar itu/AFP)

HONG KONG, 14 Januari- Pengarah Pejabat Keselamatan Negara, Zheng Yanxiong yang terkenal dengan pendekatan tegasnya terhadap penunjuk perasaan ketika bantahan di Guangdong pada 2011 dilantik sebagai wakil tertinggi China di Hong Kong.

Majlis Negara melantik Zheng, 59, untuk mengetuai Pejabat Perhubungan kerajaan pusat di Hong Kong berkuat kuasa serta-merta, menggantikan Luo Huining.

Langkah itu dilihat sebagai usaha Beijing mengetatkan cengkamannya di Hong Kong sejak bantahan demokrasi 2019.

Zheng mengetuai agensi keselamatan negara Hong Kong sejak penubuhannya pada 2020, apabila Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh terhadap habbkewangan selepas siri demonstrasi besar-besaran yang kebanyakannya bertukar ganas.

Agensi bawah Zheng menyelia pelaksanaan undang-undang keselamatan, yang sejak itu digunakan untuk mendakwa berpuluh-puluh aktivis.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee mengalu-alukan pelantikan itu dan berkata Zheng "menyelaraskan, menyelia dan membimbing" Hong Kong dalam menjaga keselamatan negara.

Perlembagaan mini yang dirangka untuk penyerahan bandar itu dari Britain kepada China pada 1997 melarang pegawai tanah besar daripada campur tangan dalam urusan harian Hong Kong.

Bagaimanapun, Pejabat Perhubungan telah menjadi lebih lantang dan berpengaruh apabila Beijing membentuk semula Hong Kong dalam imej autoritariannya sendiri. -AFP

(Zheng Yanxiong dilantik wakil tertinggi China di Hong Kong/REUTERS)

Media Baharu