UKRAINE, 21 Mac - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berulang kali merayu untuk keamanan, menggesa Rusia untuk menerima rundingan 'bermakna' untuk menamatkan pencerobohan.
Namun rundingan yang telah diadakan sebelum ini tidak menunjukkan perkembangan ketara untuk mencapai genjatan senjata.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Filippo Grandi konflik Rusia-Ukraine telah memaksa 10 juta penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Menurut data PBB, hampir 3.4 juta pelarian meninggalkan Ukraine sejak perang tercetus pada 24 Februari lepas. Lebih 2 juta diterima oleh negara jiran Poland, hampir 530,000 oleh Romania dan lebih 362,000 oleh Moldova.
Kira-kira 6.5 juta dianggarkan menjadi pelarian domestik di negara itu. Perang itu telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 847 orang awam dan menyebabkan kira-kira 1,400 cedera di Ukraine.
Angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana keadaan di lapangan menyukarkan pengesahan. -AFP