KIEV, 24 Disember - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada Selasa membentangkan draf pelan damai 20 perkara bagi menamatkan konflik antara Ukraine dan Rusia, menegaskan dokumen tersebut masih bersifat rangka kerja dan peruntukannya boleh dipinda semasa rundingan akan datang.
Dalam taklimat akhbar di Kiev, Zelensky berkata, dokumen itu sebahagian besarnya mencerminkan kedudukan bersama Ukraine dan Amerika Syarikat (AS), dan mengakui beberapa isu penting masih belum diselesaikan.
Draf tersebut termasuk peruntukan yang menegaskan kedaulatan Ukraine dan mewujudkan mekanisme pemantauan garisan hubungan bagi memastikan keamanan jangka panjang.
Ia juga mencadangkan jaminan keselamatan kukuh untuk Ukraine, mengekalkan saiz angkatan bersenjata Ukraine pada 800,000 anggota semasa waktu aman, serta jaminan keselamatan daripada Amerika, NATO dan Eropah, selaras dengan klausa pertahanan kolektif Artikel Lima NATO.
Antara isu lain, penyertaan Ukraine ke Kesatuan Eropah dengan garis masa jelas, penubuhan beberapa dana berjumlah 800 bilion dolar Amerika untuk pemulihan ekonomi, pembinaan semula dan keperluan kemanusiaan, serta percepatan rundingan perjanjian perdagangan bebas Ukraine-AS.
Isu wilayah turut disentuh dalam draf tersebut, namun Zelensky berkata, ia masih belum diselesaikan. Draf itu juga mencadangkan kemungkinan penubuhan “zon ekonomi bebas” di wilayah Donbas.
Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah dimaklumkan mengenai hubungan dengan utusan Presiden Donald Trump mengenai cadangan AS bagi kemungkinan perjanjian damai Ukraine.
Rusia mempunyai syarat untuk menjelaskan kedudukannya dan akan terus memajukan proses rundingan melalui saluran sedia ada.-REUTERS