MOGADISHU, 25 Disember - Pihak berkuasa di Mogadishu meningkatkan kawalan keselamatan menjelang pilihan raya perbandaran pertama Somalia berasaskan sistem satu orang, satu undi dalam beberapa dekad, yang dijadualkan pada 25 Disember.
Pilihan raya bersejarah itu menandakan pemisahan penting daripada sistem berasaskan klan dan susulan beberapa minggu kempen sengit di seluruh ibu kota.
Menurut Penguasa pilihan raya bebas Somalia, Abdishakur Abiib Hayir, segala persiapan dan perancangan sudah bersiap sedia.
“Persiapan pilihan raya berjalan mengikut perancangan. Semua pusat pengundian di enam belas daerah sudah bersedia.
"Pada masa ini, kami berada di Daerah Howlwadag, di mana tiga puluh sembilan pusat pengundian telah disediakan untuk proses pengundian," katanya.
Sementara itu, unit polis dan tentera dikerahkan untuk menjaga pusat pengundian serta meyakinkan pengundi di tengah-tengah kebimbangan keselamatan yang berterusan.
Langkah-langkah itu bertujuan mengelakkan sebarang gangguan, namun ancaman daripada kumpulan Al-Shabaab dan dakwaan pembangkang bahawa badan pilihan raya dikompromi terus menimbulkan keraguan sama ada pengundian itu mampu membawa kemajuan demokrasi sebenar.
Pasukan keselamatan juga mengekalkan kawalan di laluan utama dan ruang awam bagi memastikan pergerakan lancar pada hari pilihan raya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, pihak berkuasa menggesa penduduk supaya hadir dan menunaikan hak demokrasi mereka, dengan menekankan bahawa pengundian majlis tempatan adalah langkah penting untuk memperkukuh tadbir urus serta keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya di Somalia.- REUTERS