TEHRAN, 25 Disember - Penunggang motosikal wanita di Iran terus berani turun ke jalan raya meskipun berdepan kekangan undang-undang dan tekanan sosial.
Menurut pelatih, Maryam Ghelich, ketika mula belajar menunggang motosikal 15 tahun lalu, beliau terpaksa menunggang di jalan-jalan kosong pada waktu malam, bagi mengelakkan perhatian terhadap cara berpakaian serta ketiadaan lesen.
“Satu perubahan besar ialah pandangan masyarakat kita yang kini benar-benar berubah. Dahulu ia langsung tidak diterima.
"Kini apabila saya melihat wanita yang kami latih menunggang di jalan raya, saya sangat gembira kerana keluarga kini sudah mula menerima perkara ini,” katanya.
Ghelich telah melatih ratusan wanita, membantu mereka bukan sahaja menghadapi kesesakan jalan raya di ibu negara, malah mengharungi pelbagai halangan yang dihadapi penunggang motosikal wanita di negara republik Islam yang konservatif itu.
Permintaan terhadap kelas menunggang motosikal dilaporkan meningkat ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.-AFP