KIEV, 8 September – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy merayu sokongan sekutunya selepas Rusia melancarkan serangan udara terbesar sejak perang bermula, melibatkan dron dan peluru berpandu yang meragut sekurang-kurangnya empat nyawa termasuk seorang bayi.
Menurut pegawai Ukraine, serangan pada Ahad itu turut membakar bangunan utama kerajaan di pusat Kiev serta menyebabkan kerosakan di utara, selatan dan timur negara tersebut, termasuk di bandar Zaporizhzhia, Kryvyi Rih dan Odesa, selain wilayah Sumy dan Chernihiv.
Zelenskiy menggesa sekutu Eropah memberi “tindak balas menyeluruh,” sambil menegaskan bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin, tidak berminat untuk berunding.
Sekutu Eropah mengecam serangan berkenaan dan berikrar terus menyokong Ukraine secara politik serta ketenteraan, namun bentuk bantuan konkrit, termasuk kemungkinan penghantaran tentera, masih dibincangkan. -REUTERS