fb fb fb fb fb

Global Sumud Flotilla disambut meriah di Tunisia

Foto Fail / Reuters

TUNIS, 8 September – Ratusan penduduk Tunisia berhimpun di Sidi Bou Said di ibu negara Tunis pada Ahad bagi menyambut ketibaan Global Sumud Flotilla (GSF), yang turut disertai aktivis iklim Greta Thunberg bersama tokoh pro-Palestin lain.

Flotila berkenaan, mewakili 44 negara, berlayar dari Sepanyol sebagai sebahagian misi kemanusiaan antarabangsa untuk mencabar sekatan Israel ke atas Gaza dan menghantar bantuan.

Ia tiba di Tunis selepas hampir seminggu di laut sejak berlepas dari Barcelona.

Penganjur Flotila Maghreb Sumud memaklumkan kapal-kapal itu akan menjalani pembaikan ringan serta mengisi semula bekalan sebelum berlayar ke Gaza pada 10 September.

“Selepas tujuh hari berlayar, kami berdepan ribut dan pelbagai cabaran, namun ia tidak seberapa berbanding apa yang menanti,” kata aktivis Brazil, Thiago Avila.

Israel mempertahankan sekatan laut yang dikenakan sejak 2007 atas alasan keselamatan, selain menolak tuduhan genosid di Gaza yang kini dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN