fb fb fb fb fb

Yunus angkat sumpah ketua kerajaan peralihan Bangladesh

Majlis angkat sumpah Yunus dan pasukannya dilakukan di hadapan Presiden Mohammed Shahabuddin yang diadakan di pejabat presiden di ibu negara Dhaka./ REUTERS

DHAKA, 9 Ogos- Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus mengangkat sumpah jawatan untuk menerajui kerajaan peralihan terdiri daripada 17 anggota di Bangladesh.

Ia selepas berlaku protes berminggu-minggu yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Liga Awami, pimpinan Perdana Menteri Sheikh Hasina.

Majlis angkat sumpah Yunus, 84, dan pasukannya dilakukan di hadapan Presiden Mohammed Shahabuddin yang diadakan di pejabat presiden di ibu negara Dhaka.

Yunus bersumpah di hadapan pemimpin politik dan masyarakat sivil, jeneral dan diplomat untuk menegakkan, menyokong dan melindungi perlembagaan negara.

Beliau menggesa pemulihan ketenteraman di negara Asia Selatan itu selepas berminggu-minggu keganasan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 455 orang terbunuh serta menyeru rakyat untuk menjaga satu sama lain, termasuk minoriti yang diserang.

"Undang-undang dan ketenteraman adalah tugas pertama kamiā€¦ Kami tidak boleh mengambil langkah ke hadapan melainkan kami membetulkan keadaan undang-undang dan ketenteraman.

"Seruan saya kepada rakyat adalah jika anda mempunyai kepercayaan kepada saya, maka pastikan tidak akan ada serangan terhadap sesiapa, di mana-mana di negara ini.

"Setiap orang adalah saudara kita... tugas kita adalah untuk melindungi mereka," katanya sambil menambah bahawa seluruh Bangladesh adalah satu keluarga besar.

Bangladesh telah menyaksikan protes pelajar berskala besar sejak Julai menentang kuota pekerjaan perkhidmatan awam yang kontroversi yang membunuh lebih 400 orang.

Pada Selasa, Shahabuddin membubarkan parlimen yang dipilih pada Januari apabila Hasina dipilih sebagai perdana menteri buat kali keempat.

Pembangkang utama Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) menuntut pilihan raya kebangsaan dalam tempoh tiga bulan untuk menyerahkan kuasa kepada wakil rakyat.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI