KAHERAH, 9 Ogos- Pemimpin Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar menyeru Israel dan Hamas untuk bertemu pada 15 Ogos untuk rundingan bagi memuktamadkan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan di Gaza.
Ketiga-tiga negara itu, yang telah cuba menjadi pengantara perjanjian, berkata dalam satu kenyataan bersama rundingan itu boleh diadakan di Doha atau Kaherah.
"Perjanjian rangka kerja kini 'di atas meja' dengan hanya butiran pelaksanaan yang tinggal untuk dimuktamadkan.
"Tiada masa lagi untuk disia-siakan mahu pun alasan daripada mana-mana pihak untuk kelewatan selanjutnya. Sudah tiba masanya untuk membebaskan tebusan, memulakan gencatan senjata, dan melaksanakan perjanjian ini," menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata perunding Israel akan berada di sana untuk memuktamadkan butiran dan melaksanakan perjanjian rangka kerja.
Namun tiada sebarang maklum balas dari Hamas berhubung perkara itu.
Peperangan di Gaza tercetus pada 7 Oktober ke atas Israel selatan, di mana 1,200 orang terbunuh dan 250 dijadikan tebusan ke Gaza, menurut pengiraan Israel.
Sekurang-kurangnya 39,699 rakyat Palestin telah terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, yang tidak membezakan antara pejuang dan orang awam.- REUTERS