SAN FRANCISCO, 15 Ogos - YouTube mula menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan pengguna bawah umur yang berpura-pura sebagai orang dewasa di platform perkongsian video popular itu, sekali gus meningkatkan perlindungan terhadap golongan muda daripada kandungan sensitif.
Langkah baharu itu dilaksanakan di Amerika Syarikat ketika YouTube milik Google, bersama platform media sosial lain seperti Instagram dan TikTok, berdepan tekanan untuk melindungi kanak-kanak daripada kandungan yang sesuai hanya untuk golongan dewasa.
Pengarah Pengurusan Produk YouTube Youth, James Beser, berkata AI berasaskan pembelajaran mesin akan digunakan untuk menganggarkan umur pengguna berdasarkan pelbagai faktor termasuk jenis video yang ditonton dan tempoh sesuatu akaun wujud.
“Teknologi ini akan membolehkan kami membuat anggaran umur pengguna dan menggunakan maklumat itu, tanpa mengira tarikh lahir yang dinyatakan dalam akaun, untuk menyediakan pengalaman serta perlindungan kandungan yang sesuai mengikut umur,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, pendekatan itu telah digunakan di beberapa pasaran lain sebelum ini dan terbukti berkesan.
Menurut YouTube, model pengesanan umur tersebut akan melengkapkan teknologi sedia ada yang digunakan untuk mengenal pasti umur pengguna. Mereka yang dikenal pasti sebagai bawah umur akan diminta mengesahkan umur menggunakan kad kredit, swafoto atau dokumen pengenalan rasmi.
Sementara itu, platform media sosial sering berdepan kritikan kerana gagal melindungi kesejahteraan kanak-kanak, termasuk membiarkan mereka terdedah kepada kandungan berbahaya.
Akhir bulan lalu, Australia mengumumkan akan menggunakan undang-undang media sosialnya bagi mengharamkan kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan YouTube, dengan alasan mahu melindungi mereka daripada “algoritma pemangsa”.
Menteri Komunikasi Australia, Anika Wells, berkata tinjauan mendapati empat daripada sepuluh kanak-kanak di negara itu pernah terdedah kepada kandungan berbahaya di YouTube.
Australia sebelum ini turut mengumumkan rancangan untuk melarang akses media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram kepada individu bawah umur 16 tahun. Larangan itu dijadual berkuat kuasa pada 10 Disember, menjadikannya antara peraturan paling ketat di dunia.
Perkembangan di Australia itu turut diperhatikan negara lain yang mempertimbangkan langkah sama bagi mengawal akses kanak-kanak ke platform media sosial dan video dalam talian.-AFP