JAWA TENGAH, 15 Ogos – Lebih 360 orang jatuh sakit di bandar Sragen, Jawa Tengah selepas menikmati hidangan makan tengah hari di sekolah, pada Khamis.
Insiden tersebut merupakan kes keracunan makanan terbesar melibatkan program makan percuma sekolah yang menjadi projek utama Presiden Prabowo Subianto.
Ketua kerajaan daerah Sragen, Sigit Pamungkas berkata, seramai 365 orang dilaporkan jatuh sakit dan sampel makanan sedang diuji di makmal. Beliau turut memaklumkan, kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos rawatan jika diperlukan.
Seorang pelajar, Wizdan Ridho Abimanyu, 14, dari Sekolah Menengah Pertama Gemolong 1, memberitahu Reuters yang dia terjaga pada waktu malam akibat sakit perut yang teruk, disusuli sakit kepala dan cirit-birit. Dia mengesyaki puncanya adalah keracunan makanan selepas melihat hantaran rakan-rakan sekolah di media sosial yang mengalami gejala sama.
Seorang lagi pelajar, Labibah Fathin Marzuqoh, 13, mengalami sakit perut yang terlampau.
Menu makan tengah hari yang dipercayai tercemar itu terdiri daripada nasi kunyit, telur dadar yang dihiris, tempe goreng, salad timun dan daun salad, hirisan epal, serta sekotak susu. Hidangan itu dimasak di dapur pusat dan diedarkan ke beberapa sekolah.
Ketua Agensi Pemakanan Nasional, Dadan Hindayana, yang mengawasi program berkenaan, memaklumkan pihaknya telah meningkatkan piawaian operasi dapur dan penghantaran selepas beberapa insiden keracunan makanan sebelum ini.
Program makan percuma sekolah tersebut kini telah diperluas kepada lebih 15 juta penerima dan dijangka mencapai 83 juta penerima menjelang akhir tahun ini, dengan peruntukan sebanyak 171 trilion rupiah (AS$10.62 bilion) bagi tahun 2025.
Pada Mei lalu, lebih 200 pelajar di Jawa Barat turut mengalami keracunan makanan, dengan ujian makmal mengesahkan pencemaran bakteria Salmonella dan E. coli, menurut laporan media tempatan.-REUTERS