PIAS, 15 Ogos - Gabungan asap tebal dan cahaya matahari musim panas menyebabkan langit di wilayah Zamora, barat laut Sepanyol, bertukar warna jingga-merah pada Khamis ketika negara itu berdepan salah satu musim kebakaran hutan terburuk dalam tempoh dua dekad.
Gelombang haba berpanjangan, antara yang terpanjang sejak rekod bermula, telah mempercepatkan penyebaran kebakaran, dengan kira-kira 148,000 hektar musnah setakat tahun ini, jumlah kedua terbesar sejak 2006.
Menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah, angka itu mewakili lebih suku daripada keseluruhan 512,000 hektar yang terbakar di Kesatuan Eropah.
Menteri Dalam Negeri, Fernando Grande-Marlaska, memaklumkan Sepanyol menerima bantuan dua pesawat pengebom air jenis Canadair dari Perancis selepas memohon bantuan daripada rakan-rakan Eropah.
Dalam kejadian terbaharu di Zamora, polis menahan seorang lelaki kerana memulakan kebakaran di kawasan pembuangan sampah haram, yang kemudiannya merebak pantas akibat cuaca panas. Kebakaran itu memusnahkan kira-kira 4,000 hektar dan mencederakan lima orang.
Sejak 1 Jun lalu, polis telah menahan 10 individu dan menyiasat 38 lagi atas dakwaan sengaja memulakan kebakaran hutan. Menurut undang-undang Sepanyol, pesalah yang disabitkan kesalahan membakar hutan secara sengaja boleh dipenjara sehingga lima tahun serta dikenakan denda yang tinggi. -REUTERS