fb fb fb fb fb

Air Canada henti penerbangan susulan mogok pramugari

Aktivis kesatuan mengganggu sidang media yang diadakan Air Canada menjelang mogok pramugari yang dijadualkan pada Sabtu ini/ Foto REUTERS

TORONTO, 15 Ogos - Air Canada dijangka membatalkan majoriti daripada kira-kira 700 penerbangan harian pada Jumaat menjelang mogok pramugari yang dijadualkan Sabtu ini, melibatkan kira-kira 100,000 penumpang yang terpaksa membuat perancangan perjalanan alternatif.

Syarikat penerbangan terbesar Kanada itu memaklumkan telah membatalkan beberapa puluh penerbangan pada hari tersebut dan akan membatalkan sekitar 500 penerbangan menjelang Jumaat.

Ia susulan tindakan mogok 10,000 pramugari yang menuntut gaji lebih tinggi serta bayaran bagi kerja tanpa imbuhan.

Ketua Pegawai Operasi Air Canada, Mark Nasr berkata rangkaian operasi syarikat yang merangkumi lebih 250 pesawat ke lebih 65 negara memerlukan pengurangan perkhidmatan secara berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya pada Sabtu. Katanya, proses memulakan semula operasi selepas mogok boleh mengambil masa seminggu.

Ketua Pegawai Sumber Manusia, Arielle Meloul-Wechsler menegaskan pihaknya sedia berunding pada bila-bila masa “dengan syarat rundingan mempunyai asas yang kukuh.” Sidang media yang dihadiri beliau bagaimanapun berakhir tergesa-gesa selepas sekumpulan ahli kesatuan membawa plakad memasuki bilik persidangan di sebuah hotel di Toronto.

Isu utama pertikaian ialah kaedah pembayaran pramugari. Secara tradisi, mereka hanya dibayar ketika pesawat bergerak, namun dalam rundingan terkini, mereka menuntut bayaran bagi semua jam bekerja termasuk proses menaiki penumpang dan masa menunggu di lapangan terbang.

Kesatuan mendakwa kerja tanpa bayaran mencecah sekitar 35 jam sebulan. Air Canada menawarkan bayaran pada kadar 50 peratus gaji sejam untuk sebahagian tempoh tersebut, namun ia ditolak kesatuan kerana dianggap masih di bawah gaji minimum. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN