fb fb fb fb fb

Rusia kuasai dua lagi penempatan di Donetsk, Ukraine balas serang loji minyak

FOTO REUTERS

MOSCOW, 15 Ogos – Rusia pada Khamis mendakwa tenteranya telah menawan dua lagi penempatan di wilayah Donetsk, manakala Ukraine pula melaporkan berjaya melancarkan serangan dron terhadap sebuah loji penapisan minyak di Rusia.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia, pasukan tenteranya melancarkan serangan ke atas 147 lokasi termasuk pusat simpanan dron, depot peluru, lokasi penempatan sementara Angkatan Tentera Ukraine, serta lokasi penempatan sementara tentera upahan asing.

Kenyataan itu turut memaklumkan, sistem pertahanan udara Rusia berjaya memusnahkan empat bom berpandu dan 268 dron.

Pada hari sama, Ketua Turus Angkatan Tentera Ukraine melaporkan, pasukannya terlibat dalam 148 pertempuran dengan tentera Rusia.

Ukraine juga telah memperkukuh pertahanan dengan menghantar tambahan anggota dan peralatan ke arah Dobropillia dan Pokrovsk.

Selain itu, pada awal pagi Khamis, Ukraine melancarkan serangan dron ke atas loji penapisan minyak di Volgograd, Russia, yang menyebabkan kebakaran besar di fasiliti tersebut. Tahap kerosakan masih belum dapat dipastikan, menurut tentera Ukraine.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE