fb fb fb fb fb

Yaman teguh pertahan kedaulatan, terus sokong Gaza

Rakyat Yaman menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin dan mengutuk Israel dan AS, di Sanaa/ AFP

SANAA, 1 September - Rakyat Yaman menegaskan pendirian untuk terus mempertahankan kedaulatan negara serta menyokong perjuangan rakyat Gaza, walaupun Perdana Menteri kerajaan yang disokong Huthi, Ahmed Ghaleb al-Rahawi, disahkan terkorban dalam serangan Israel, Khamis lalu.

Timbalan Menteri Penerangan Yaman, Mohammed Mansour berkata sokongan berterusan kepada Gaza merupakan sebahagian daripada usaha mempertahankan maruah dan kedaulatan Yaman.

“Ini adalah satu kehilangan besar, kita kehilangan barisan pemimpin termasuk Perdana Menteri Ahmed Ghaleb al-Rahawi yang syahid. Darah yang mengalir dari Sanaa ke Gaza menjadikan tanggungjawab kita lebih besar untuk mempertahankan negara dan prinsip kita", katanya.

Penduduk Sanaa, turut menyatakan bahawa serangan ganas Israel tidak akan melemahkan tekad mereka untuk terus bersatu bersama rakyat Gaza.

“Apa yang berlaku pada hari Khamis, pembunuhan Perdana Menteri dan beberapa orang menteri menjadikan kami lebih bersemangat dan bertekad untuk terus menyokong saudara-saudara kami di Gaza dan Palestin secara keseluruhan,” kata seorang penduduk tempatan, Amin Al-Zafari.

“Apa yang berlaku sangat menyedihkan dan memilukan. Namun ini tidak akan menghentikan sokongan kami terhadap Gaza. Walaupun kami semua terkorban, isu ini tetap isu Arab, soal darah Arab. Jika kami gagal mempertahankan Gaza, maka kami tiada nilai,” kata seorang lagi penduduk, Ma’in Obeid.

Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan mengesahkan tentera Israel menyasarkan sebuah lokasi pertemuan pegawai kanan Houthi di ibu negara Yaman, Sanaa, semasa serangan berlaku.

Antara individu yang didakwa berada di lokasi ketika itu termasuk Perdana Menteri Ahmed Ghaleb al-Rahawi serta beberapa lagi pemimpin tertinggi Huthi.

Kumpulan Huthi, yang menguasai sebahagian besar kawasan di utara Yaman, telah melancarkan serangan terhadap Israel sejak November 2023 sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin dalam konflik Israel-Hamas di Gaza.- REUTERS

ROSLINA BINTI DIN