KABUL, 1 September – Beratus-ratus orang dikhuatiri maut dan cedera dalam kejadian gempa bumi yang melanda wilayah timur laut Kunar di Afghanistan, kata pihak berkuasa ketika pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang terselamat bawah runtuhan.
Menurut laporan awal Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya 30 orang maut di sebuah kampung. Namun angka sebenar belum dapat dipastikan kerana kawasan terjejas terdiri daripada kawasan yang sukar diakses serta dusun-dusun yang terletak di pelbagai kawasan.
“Jumlah mangsa dan kecederaan adalah tinggi, tetapi pasukan kami masih berada di lokasi kerana kawasan itu sukar untuk diakses,” kata jurucakap kementerian, Sharafat Zaman dalam satu kenyataan.
Ketua Penerangan Wilayah Najibullah Hanif turut memaklumkan beratus-ratus mangsa cedera telah dihantar ke hospital dan jumlah itu dijangka terus meningkat apabila maklumat dari kawasan terpencil mula diterima.
Pasukan penyelamat sedang melaksanakan operasi di beberapa daerah di wilayah pergunungan itu. Helikopter digunakan bagi mengangkut mangsa cedera dan mayat keluar dari kawasan terjejas.
Kejadian gempa berlaku tengah malam pada kedalaman 10 kilometer, merosakkan rumah-rumah yang diperbuat daripada bahan lumpur dan batu di sempadan wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan.
Afghanistan merupakan kawasan yang kerap terdedah kepada gempa bumi terutama di pergunungan Hindu Kush, yang terletak di persimpangan plat tektonik India dan Eurasia.
Gempa bumi di wilayah barat negara itu pada tahun lalu telah meragut lebih 1,000 nyawa.-REUTERS