fb fb fb fb fb

Gutteres puji Presiden China berwawasan strategik

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres/ AFP

TIANJIN, 1 September - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memuji Presiden China, Xi Jinping, sebagai seorang pemimpin yang memiliki visi strategik yang jelas, merujuk kepada keputusan negara itu dalam pembangunan tenaga boleh baharu dan kenderaan elektrik.

Dalam temu bual bersama Kumpulan Media China di luar sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Tianjin, Guterres berkata Presiden Xi sentiasa melihat sesuatu dari perspektif jangka panjang dan menetapkan objektif yang mampu dicapai mengikut jangkaan.

“Sekiranya saya perlu memilih satu aspek yang mencirikan Presiden Xi Jinping, ia adalah beliau seorang lelaki dengan visi strategik yang jelas, mampu melihat jauh ke hadapan, menetapkan objektif jangka panjang dan bukan sahaja mencapainya, malah melakukannya lebih awal daripada jangkaan.

"Banyak contoh boleh diberikan. Saya masih ingat Presiden Xi mengumumkan China akan mencapai sasaran 1,200 gigawatt tenaga boleh baharu menjelang 2030 dan sasaran itu sudah pun dicapai,” kata Guterres.

“Pada masa yang sama, ketika ramai masih memikirkan bagaimana untuk memperbaiki kenderaan diesel, China sudah membuat keputusan untuk bertaruh pada kereta elektrik bertahun-tahun lebih awal dan membangunkan semua teknologi yang diperlukan. Kini, kereta elektrik buatan China menguasai pasaran dunia dan berfungsi dengan sangat baik,” ujarnya

“Dalam dunia ketika banyak perkara diputuskan pada satu hari dan diubah keesokan harinya, serta dasar yang hanya memberi minimum kelestarian, saya percaya visi strategik ini adalah ciri yang sangat penting. Saya yakin ia sangat sesuai dengan Presiden Xi Jinping,” ujar ketua PBB itu.

Guterres tiba di Beijing pada Sabtu bagi menghadiri Sidang Kemuncak SCO 2025 yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 1 September di Tianjin, utara China.

- REUTERS

ROSLINA BINTI DIN