TIANJIN, 1 September - Presiden China Xi Jinping, menggesa negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) agar memanfaatkan sepenuhnya potensi pasaran berskala besar yang dimiliki, dalam usaha memperkukuh kerjasama ekonomi serantau.
Pada masa sama, beliau turut memberitahu visinya terhadap sistem keselamatan dan ekonomi global baharu yang dilihat sebagai cabaran langsung kepada Amerika Syarikat.
Menerusi ucapan perasmian Sidang Kemuncak SCO yang berlangsung selama dua hari di bandar pelabuhan Tianjin, utara China, Xi menyatakan bahawa pertubuhan itu telah membentuk model baharu hubungan antarabangsa.
Beliau turut mengumumkan China akan menyalurkan bantuan percuma sebanyak 2 bilion yuan (AS$280 juta) kepada negara-negara anggota SCO tahun ini, selain menyediakan pinjaman berjumlah 10 bilion yuan (AS$1.4 bilion) kepada konsortium perbankan SCO bagi menyokong pembangunan ekonomi serantau.
“Kita mesti mengambil peluang ke atas pasaran berskala mega ini... untuk meningkatkan tahap kemudahan perdagangan dan pelaburan,” ujar Xi.
Beliau turut menyeru agar kerjasama diperkukuhkan dalam pelbagai sektor strategik seperti tenaga, infrastruktur, sains dan teknologi, serta kecerdasan buatan (AI).
Majlis perasmian SCO urut disertai Presiden Rusia, Vladimir Putin, Perdana Menteri India, Narendra Modi, serta pemimpin-pemimpin lain dari Asia Tengah, Asia Barat, Asia Selatan dan Asia Tenggara.-REUTERS