fb fb fb fb fb

Xi Jinping kecam 'buli' global, umum dana pembangunan AS$9.2 bilion untuk negara Amerika Latin & Caribbean

Presiden China, Xi Jinping (tengah), Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva (baris hadapan, ketiga dari kanan), Presiden Chile, Gabriel Boric (baris hadapan, kedua dari kiri), Presiden Colombia, Gustavo Petro (baris hadapan, ketiga dari kiri) serta wakil-wakil CELAC lain menghadiri sesi bergambar kumpulan sebelum majlis pembukaan Mesyuarat Menteri Keempat Forum China dan Komuniti Negara-Negara Amerika Latin dan Caribbean (CELAC) di Beijing / AFP

BEIJING, 13 Mei- Presiden China, Xi Jinping menzahirkan komitmen untuk memperkukuh hubungan dengan negara-negara Amerika Latin dan Caribbean, sambil mengecam amalan 'buli' global dipercayai merujuk kepada Amerika Syarikat dalam ucapannya pada Forum China-CELAC di Beijing hari ini.

Xi menyifatkan kerjasama antara China dan rantau itu sebagai "pokok yang kukuh” dan mengumumkan komitmen pembiayaan berjumlah AS$9.2 bilion untuk pembangunan negara-negara terlibat.

Katanya, hanya melalui perpaduan dan kerjasama, negara-negara dunia dapat menjamin keamanan serta kemakmuran sejagat.

Ucapan Xi turut disampaikan sehari selepas China dan Amerika Syarikat mencapai persetujuan untuk mengurangkan tarif secara drastik selama 90 hari dalam usaha meredakan perang perdagangan yang telah menggoncang pasaran global.

Antara pemimpin yang hadir termasuk Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Colombia, Gustavo Petro yang dijangka menandatangani perjanjian menyertai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) semasa lawatannya.

Hampir dua pertiga negara Amerika Latin kini menyertai inisiatif infrastruktur mega China tersebut, dengan China muncul sebagai rakan dagang utama kepada beberapa negara seperti Brazil, Peru dan Chile.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE