fb fb fb fb fb

Lapangan Terbang Srinagar dibuka semula susulan gencatan senjata India-Pakistan

Lapangan Terbang Srinagar sebelum ini ditutup susulan ketegangan yang memuncak di sempadan kedua-dua negara, khususnya di sepanjang Garisan Kawalan (LoC), susulan beberapa insiden tembakan artileri rentas sempadan.

SRINAGAR, 13 Mei- Lapangan Terbang Srinagar yang terletak di wilayah Kashmir yang ditadbir India dibuka semula hari ini, susulan pelaksanaan gencatan senjata sementara antara India dan Pakistan yang telah meredakan ketegangan di sempadan.

Sumber keselamatan memaklumkan, operasi penerbangan domestik telah disambung secara berperingkat, manakala kawalan keselamatan dipertingkatkan bagi menjamin kelancaran perjalanan penumpang dan operasi lapangan terbang.

Gencatan senjata yang dimeterai minggu lalu antara tentera India dan Pakistan dilaporkan setakat ini dipatuhi kedua-dua pihak, sekali gus memberi sedikit ruang kepada penduduk tempatan untuk kembali kepada rutin harian mereka.

Lapangan Terbang Srinagar sebelum ini ditutup susulan ketegangan yang memuncak di sempadan kedua-dua negara, khususnya di sepanjang Garisan Kawalan (LoC), susulan beberapa insiden tembakan artileri rentas sempadan.

Wilayah Kashmir telah sekian lama menjadi titik pertikaian utama antara India dan Pakistan sejak pembahagian British India pada 1947. Kedua-dua negara menuntut wilayah berkenaan secara keseluruhan, namun masing-masing hanya mentadbir sebahagian daripadanya.

Gencatan senjata dan pembukaan semula kemudahan penting seperti lapangan terbang memberi harapan baharu kepada masyarakat Kashmir yang mengimpikan keamanan berpanjangan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE