fb fb fb fb fb

Israel lancar serangan ke atas hospital, dakwa jadi lokasi kubu Hamas

Penduduk setempat Palestin memeriksa kemusnahan membabitkan Hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Gaza, susulan serangan udara Israel awal pagi 13 Mei 2025 yang meragut nyawa wartawan Palestin, Hassan Aslih, bersama beberapa mangsa lain / AFP

BAITULMAQDIS, 13 Mei-  Tentera Israel hari ini mengesahkan telah melancarkan serangan ke atas sebuah hospital di selatan Gaza yang didakwa digunakan oleh Hamas, sekali gus menamatkan jeda singkat pertempuran yang diberikan bagi membolehkan pembebasan seorang tebusan warga AS-Israel.

Dalam kenyataan di saluran Telegram, tentera Israel memaklumkan bahawa "pengganas Hamas yang penting" telah beroperasi dari pusat arahan dan kawalan di dalam Hospital Nasser, yang terletak di Khan Yunis bandar utama di selatan Gaza, berdekatan Rafah.

"Kompleks tersebut digunakan oleh pengganas untuk merancang dan melaksanakan serangan terhadap orang awam Israel dan anggota IDF (Pasukan Pertahanan Israel)," menurut kenyataan itu.

Setakat ini, tiada maklumat rasmi dikeluarkan mengenai jumlah korban atau kecederaan dalam serangan berkenaan.

Serangan tersebut, menurut kenyataan Hamas, telah mengorbankan wartawan Palestin Hassan Aslih yang sedang menerima rawatan di hospital itu selepas cedera dalam serangan sebelum ini.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal, mengesahkan bangunan pembedahan di hospital itu dibedil pada waktu subuh, menyebabkan kematian Hassan Aslih yang merupakan ketua agensi berita Alam24. Aslih ketika itu sedang menjalani rawatan akibat kecederaan dalam serangan udara Israel pada 7 April lalu, yang turut meragut nyawa dua lagi wartawan, Ahmed Mansur dan Hilmi al-Faqaawi.

Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) mengutuk serangan tersebut, sambil memaklumkan bahawa Aslih sebelum ini bekerja dengan beberapa media antarabangsa sebelum 2023. Dakwaan terhadapnya mula timbul selepas kumpulan pro-Israel, HonestReporting, menyiarkan foto beliau bersama bekas pemimpin Hamas, Yahya Sinwar.

Menurut CPJ, sekurang-kurangnya 178 wartawan dan petugas media telah terkorban di Gaza, Tebing Barat, Israel dan Lubnan sejak konflik tercetus.

Jeda sementara dalam operasi ketenteraan itu sebelum ini diadakan bagi membolehkan pembebasan Edan Alexander, seorang askar berusia 21 tahun yang memiliki dwikerakyatan Amerika Syarikat-Israel dan telah dijadikan tebusan sejak Oktober 2023.

Alexander dipercayai merupakan tebusan terakhir yang masih hidup dalam kalangan warga AS dan pembebasannya berlaku menjelang lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Asia Barat.

Israel telah menyambung semula kempen ketenteraannya di Gaza pada 18 Mac lalu selepas gencatan senjata selama dua bulan.

Sekurang-kurangnya 2,749 orang terbunuh sejak Israel melancarkan semula operasinya, menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak konflik bermula mencecah 52,862 orang.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE