PARIS, 13 Mei- Selebriti terkenal Amerika Syarikat, Kim Kardashian, dijadual memberi keterangan di Mahkamah Paris pada Selasa berhubung insiden rompakan bersenjata yang berlaku hampir satu dekad lalu ketika beliau menghadiri Minggu Fesyen Paris.
Dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi 3 Oktober 2016, Kardashian yang ketika itu berusia 35 tahun diikat dan diacukan pistol ketika berada di sebuah hotel eksklusif di pusat bandar Paris. Kumpulan perompak bertopeng telah melarikan barang kemas bernilai sekitar AS$10 juta, termasuk sebentuk cincin berlian yang dihadiahkan oleh bekas suaminya, Kanye West.
Seramai 10 suspek kini sedang dibicarakan sejak hujung April lalu. Mereka terdiri daripada lelaki berusia lingkungan 60-an dan 70-an, kebanyakannya memiliki rekod jenayah lampau. Media Perancis menggelar kes ini sebagai “rompakan abad ini”, memandangkan nilai rampasan serta modus operandi yang menyerupai filem jenayah klasik Perancis era 70-an.
Menurut pasukan peguam Kardashian, beliau bersedia untuk bersemuka dengan suspek dalam perbicaraan yang akan berlangsung pada pukul 2.00 petang waktu tempatan.
Kehadiran Kardashian di mahkamah mendapat liputan luas dengan lebih 500 wakil media dilapor mendaftar untuk membuat liputan.
Siasatan sebelum ini mendedahkan bahawa salah seorang suspek dipercayai mendapat maklumat lokasi Kardashian daripada individu yang berkait rapat dengan pemandu peribadi selebriti tersebut. Namun dakwaan itu ditolak oleh peguam tertuduh, dengan alasan lokasi bintang itu diketahui ramai melalui media sosial.
Antara tertuduh ialah Aomar Ait Khedache, 68, yang mengaku mengikat Kardashian, namun menafikan dirinya adalah dalang utama. Seorang lagi tertuduh, Yunice Abbas, 71, pernah menulis buku mengenai kejadian rompakan tersebut.
Kardashian yang kini juga dikenali sebagai usahawan dan aktivis sosial, menyatakan penghargaan terhadap komitmen pihak berkuasa Perancis dalam menangani kes ini dengan profesionalisme dan hormat.
Perbicaraan dijangka berakhir pada 23 Mei ini.-REUTERS