fb fb fb fb fb

Sussan Ley dilantik ketua wanita pertama Parti Liberal Australia

Sussan Ley dilantik ketua wanita pertama Parti Liberal Australia

SYDNEY, 13 Mei- Parti pembangkang konservatif Australia pada Selasa memilih Sussan Ley sebagai ketua wanita pertama dalam sejarah 80 tahun parti tersebut, susulan kekalahan besar dalam pilihan raya umum yang lalu.

Pemilihan Ley, 63, menggantikan Peter Dutton, bekas pegawai polis yang sebelum ini mengetuai Parti Liberal. Kekalahan parti itu kepada Parti Buruh yang berhaluan kiri pada 3 Mei lalu dilihat berpunca daripada dasar konservatif ekstrem yang digambarkan sebagai mirip pendekatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Kegagalan Dutton menarik sokongan di kawasan bandar serta reputasinya yang tidak popular dalam kalangan pengundi wanita dikenal pasti sebagai antara punca utama kekalahan tersebut.

Ley, yang pernah terlibat dalam industri ternakan dan berkhidmat lebih dua dekad dalam politik kebangsaan, dilihat sebagai suara sederhana dalam Parti Liberal yang berhaluan kanan.

"Kita perlu berubah. Parti Liberal mesti menghormati landskap moden Australia," tegas Ley selepas kekalahan parti tersebut.

Menariknya, beliau menukar ejaan nama asalnya daripada “Susan” kepada “Sussan” ketika usia muda demi mendapatkan bacaan numerologi yang lebih baik, sejenis kepercayaan mirip astrologi yang mengaitkan nasib dengan angka dan huruf.

Sementara itu, Dutton sebelum ini dikenali dengan imej "keras", sering mengutarakan pendirian tegas berkaitan jenayah dan imigresen serta cadangan memotong perkhidmatan awam. Dasar-dasarnya turut dikritik sebagai "Trump-lite" oleh sesetengah pengamat politik.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE