BUENOS AIRES, 13 Mei- Pihak berkuasa Buenos Aires memulakan program mengawal pembiakan capybara di kawasan perumahan mewah Nordelta, susulan kebimbangan terhadap peningkatan populasi haiwan itu secara mendadak.
Inisiatif itu dikendalikan oleh pihak majlis perbandaran dengan kerjasama doktor haiwan dan ahli biologi, yang melibatkan proses menidurkan capybara menggunakan dart pelali sebelum diberikan suntikan vaksin kawalan kesuburan.
Haiwan berkenaan perlu ditangkap semula untuk menerima dos kedua bagi memastikan keberkesanan rawatan.
“Beberapa tahun kebelakangan ini, populasi capybara di Nordelta meningkat secara mendadak. Jika tidak dikawal, ia boleh mengundang risiko seperti pembiakbakaan sesama baka, penularan penyakit, dan kepadatan populasi,” jelas Dr. Luciano Sampietro, seorang doktor haiwan yang terlibat dalam program itu.
Sejumlah 250 ekor capybara disasarkan dalam fasa awal program berkenaan, daripada jumlah keseluruhan populasi yang dianggarkan melebihi 1,000 ekor.
Peningkatan bilangan haiwan tersebut dikaitkan dengan tempoh pandemik, apabila aktiviti manusia berkurangan dan memberi ruang kepada capybara untuk bebas membiak.
“Di habitat asal mereka, populasi akan seimbang secara semula jadi disebabkan faktor seperti kemarau atau kekurangan makanan. Tetapi di sini, mereka mempunyai akses kepada sumber air dan makanan sepanjang tahun,” ujar pakar biologi Constanza Falguera daripada Persatuan Penduduk Nordelta.
Capybara merupakan haiwan asli tanah lembap yang telah lama mendiami kawasan itu sebelum pembangunan Nordelta lebih dua dekad lalu. Kini, haiwan berkenaan menjadi simbol kepada ketegangan antara pembangunan bandar dan pemuliharaan alam sekitar.
Sebahagian penduduk menyokong usaha kawal pembiakan itu manakala yang lain berpendapat ia tidak menyelesaikan isu utama iaitu kehilangan habitat asal capybara.
Aktivis alam sekitar turut menolak dakwaan bahawa capybara membawa ancaman kepada penduduk.
“Ada kempen yang menggambarkan mereka berbahaya. Tapi itu tidak benar. Capybara adalah haiwan yang jinak… namun masih tergolong sebagai haiwan liar, jadi manusia tidak seharusnya berinteraksi secara langsung dengan mereka,” kata Guillermo Fernández daripada kumpulan Ecodefensa Nuevo Delta.
Sebilangan penduduk pula percaya bahawa capybara berhak untuk terus hidup di kawasan itu.
“Taman saya pun pernah musnah, tapi saya rasa mereka ada hak, sebab mereka dah lama tinggal di sini. Mungkin lebih lama dari kita,” kata María Ester Di Sipio.
Program kawal pembiakan itu dijangka diteruskan dalam beberapa bulan akan datang, ketika perbahasan antara pembangunan dan perlindungan spesies asal terus menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat setempat dan aktivis alam sekitar.-AFP