MISRATA, 13 Mei - Sekumpulan sukarelawan di Misrata, Libya melancarkan kempen kutipan derma bagi membantu rakyat Gaza yang terkesan akibat konflik berpanjangan, dengan meletakkan tabung-tabung sumbangan di hadapan masjid selepas solat Jumaat.
Kempen tersebut yang dijalankan bawah slogan “Kempen Derma untuk Rakyat Gaza Selepas Solat Jumaat” menyasarkan sokongan masyarakat setempat, khususnya jemaah masjid, sebagai tanda solidariti terhadap penderitaan yang dialami rakyat Palestin.
Selesai solat Jumaat pada 9 Mei lalu, orang ramai turut berhimpun di jalan-jalan utama sekitar Misrata sambil membawa plakad dan mesej sokongan kepada Gaza.
Kanak-kanak pula dilihat mengangkat bekas makanan kosong, simbol kepada ancaman kebuluran yang semakin meruncing di wilayah itu, seperti yang dibangkitkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Sejak tercetusnya perang antara Israel dan Hamas pada Oktober 2023, Israel dilaporkan telah memutuskan hampir semua saluran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Bantuan hanya dibenarkan masuk semasa gencatan senjata ringkas bermula Januari lalu, namun kembali dihentikan sepenuhnya apabila Israel menyambung semula serangan terhadap kumpulan pejuang Palestin pada Mac.
Israel juga menyatakan hasrat untuk memperluaskan operasi ketenteraannya di Gaza, yang kini mengalami kemusnahan besar dan krisis kemanusiaan yang kritikal.-REUTERS