fb fb fb fb fb

Lensa jurufoto Palestin rakam derita Gaza di pameran Kaherah

Foto Reuters

KAHERAH, 13 Mei - Realiti perang di Gaza dirakam secara menyeluruh menerusi karya jurufoto wartawan Palestin yang dipamerkan dalam satu pameran khas sempena acara ‘Cairo Photo Week’ di ibu negara Mesir, bermula 8 hingga 18 Mei ini.

Pameran yang berlangsung di pusat bandar Kaherah itu mengetengahkan hasil kerja sepuluh jurufoto dari Gaza, yang menggambarkan pelbagai aspek kehidupan ketika konflik seperti perpindahan, kelaparan, kemusnahan, serta perjuangan antara hidup dan mati.

Kesemua jurufoto tersebut merupakan penerima ‘Geran Kemanusiaan Foto’ edisi 2024, dan karya mereka akan dihimpunkan dalam sebuah buku foto serta dipamerkan di pelbagai lokasi antarabangsa.

Menurut laman rasmi inisiatif itu, geran berkenaan diwujudkan bagi menyokong jurufoto yang menggunakan lensa mereka untuk menyorot pelbagai dimensi kemanusiaan serta memupuk empati, kefahaman dan kesedaran dalam kalangan masyarakat global.

“Kami berdepan banyak kesukaran ketika memulakan Geran Kemanusiaan Foto khusus untuk Gaza — termasuk capaian internet yang terhad serta cabaran komunikasi dengan jurufoto di dalam wilayah itu,” kata Penyelaras Utama geran yang berpangkalan di Kuwait, Sami Alramyan.

Pameran itu merupakan antara acara utama edisi keempat Cairo Photo Week yang menghimpunkan penggiat seni fotografi dari seluruh dunia.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN