fb fb fb fb fb

Pertempuran sengit di Tripoli, ketua kumpulan bersenjata maut

Asap hitam tebal kelihatan di ruang udara Tripoli susulan pertempuran ganas antara kumpulan bersenjata saingan yang tercetus pada malam Isnin / AFP

TRIPOLI, 13 Mei- Tripoli kembali bergolak apabila pertempuran ganas tercetus antara kumpulan bersenjata saingan pada malam Isnin, mengakibatkan kematian Abdelghani al-Kikli, ketua kepada pasukan bersenjata berpengaruh, Support and Stability Apparatus, menurut laporan media tempatan.

Bunyi tembakan dan letupan kedengaran di beberapa kawasan sekitar ibu kota Libya seawal pukul 9 malam waktu tempatan. Pihak berkuasa menggesa penduduk supaya kekal di dalam rumah demi keselamatan.

Media melaporkan pertempuran berlaku di pinggir selatan Tripoli, melibatkan kumpulan bersenjata tempatan dengan kumpulan pesaing dari bandar Misrata, yang terletak kira-kira 200 kilometer ke timur.

Kementerian Dalam Negeri di Tripoli turut mengesahkan insiden dan mengeluarkan arahan penutupan sekolah di beberapa kawasan sehingga diberitahu kelak.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melalui Misi Sokongan di Libya (UNSMIL) melahirkan kebimbangan terhadap pertempuran yang berlaku di kawasan padat penduduk, serta mengingatkan bahawa serangan ke atas orang awam boleh dikategorikan sebagai jenayah perang.

Libya masih belum pulih sepenuhnya daripada konflik yang tercetus selepas kejatuhan Moamer Kadhafi pada 2011. Negara itu kini terbelah antara kerajaan di Tripoli yang diiktiraf PBB dan pentadbiran pesaing yang dikawal keluarga Haftar di timur negara.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE