fb fb fb fb fb

Saham Nissan melonjak selepas rancang pemberhentian 10,000 lagi pekerja

Logo Nissan/ AFP

TOKYO, 13 Mei- Saham syarikat pengeluar automotif Jepun, Nissan, melonjak hingga 5.5 peratus dalam dagangan awal pada Selasa selepas laporan tempatan menyatakan bahawa syarikat itu merancang untuk memberhentikan 10,000 lagi pekerja dalam usaha memulihkan perniagaan syarikat itu.

Nissan, antara 10 pengeluar kenderaan teratas dunia itu dijangka mencatatkan kerugian tahunan tertinggi dalam sejarah syarikat — dianggarkan mencecah AS$5 bilion — apabila laporan kewangannya diumumkan lewat hari ini.

Laporan media tempatan termasuk penyiar awam NHK menyatakan bahawa langkah terbaharu itu akan menjadikan jumlah keseluruhan pengurangan tenaga kerja kepada kira-kira 15 peratus.

Pada November lalu, Nissan telah mengumumkan pemberhentian 9,000 pekerja. Namun Nissan setakat ini enggan mengulas mengenai laporan berkenaan.

Nissan menghadapi cabaran besar untuk bersaing dengan jenama kenderaan elektrik dari China, selain berdepan dengan tarif perdagangan dari Amerika Syarikat (AS) yang dilihat menjejaskan keuntungan syarikat.

Usaha penggabungan dengan syarikat automotif Jepun, Honda, yang sebelum ini dianggap sebagai peluang menyelamatkan syarikat, juga gagal apabila rundingan berakhir pada Februari.

Honda mencadangkan agar Nissan dijadikan sebagai anak syarikat bukannya penggabungan bawah satu syarikat induk.

Pada April, Nissan mengeluarkan amaran keuntungan dengan menjangkakan kerugian bersih tahunan antara 700 hingga 750 bilion yen (sekitar AS$4.8 hingga AS$5.1 bilion) bagi tahun kewangan 2024-2025.

Saham Nissan susut hampir 40 peratus dalam tempoh setahun lalu. Pada Mac lepas, syarikat itu melantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu dalam usaha memperkukuh pengurusan.

Beberapa agensi penarafan kredit telah menurunkan taraf syarikat kepada status 'junk' atau spekulatif, dengan Moody’s menyatakan faktor 'keuntungan yang lemah' dan 'barisan model kenderaan lama' sebagai punca utama.

Nissan juga membatalkan rancangan pembinaan kilang bateri bernilai AS$1 bilion di selatan Jepun disebabkan cabaran persekitaran perniagaan.

Satu lagi tekanan ialah tarif import kenderaan sebanyak 25 peratus yang dikenakan Presiden AS, Donald Trump.

Penganalisis Bloomberg Intelligence, Tatsuo Yoshida, berkata Nissan dijangka menjadi antara syarikat automotif Jepun yang paling terkesan.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI