LVIV, 8 April - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan lebih 100 serangan disasarkan kepada kemudahan kesihatan di Ukraine.
Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pihaknya mengenal pasti 103 serangan mengenai pusat penjagaan kesihatan yang mengorbankan 73 nyawa dan 51 cedera.
Ia termasuk pekerja kesihatan dan pesakit.
Daripada jumlah itu, 89 serangan mengenai kemudahan kesihatan dan bakinya, kenderaan kesihatan termasuk ambulans.
“Kami sangat marah kerana serangan terhadap penjagaan kesihatan berterusan. Serangan terhadap penjagaan kesihatan adalah melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa," kata Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada sidang akhbar.
Katanya, serangan terhadap kesihatan tersebut menjangkau hampir 42 hari sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bermula.
Kesan keganasan tersebut bukan sahaja serta merta, iaitu dalam jumlah kematian dan kecederaan tetapi juga untuk jangka panjang bagi sistem penjagaan kesihatan Ukraine.
"Ia merupakan tamparan hebat kepada usaha negara untuk memulakan pembaharuan kesihatan dan mencapai liputan kesihatan sejagat, matlamat yang telah mencapai kemajuan ketara sebelum perang meletus," katanya.-AFP