fb fb fb fb fb

WHO rancang lebih banyak pemindahan dari hospital Gaza

Foto Reuters

GAZA, 23 Februari - Agensi bantuan berharap dapat memindahkan kira-kira 140 pesakit yang terkandas di hospital Nasser di Gaza, kata seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis, ketika pihak berkuasa Palestin melaporkan bahawa tentera Israel berundur dari kompleks itu dan kemudian menyerbunya semula.

Pasukan perubatan telah mengebumikan 13 pesakit yang telah meninggal dunia di perkarangan hospital kerana kemudahan itu tidak mempunyai bekalan elektrik atau oksigen, kata Kementerian Kesihatan Gaza.

WHO berkata hospital di Khan Younis, yang merupakan hospital kedua terbesar di Gaza dan penting kepada perkhidmatan kesihatan di wilayah itu, 'lumpuh' selepas kepungan Israel.

WHO dan rakan kongsi setakat ini telah melakukan tiga pemindahan dari hospital dan yang terbaru pada Rabu, memindahkan sejumlah 51 pesakit ke selatan Gaza, kata agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ayadil Saparbekov pada taklimat akhbar.

“WHO akan terus cuba memindahkan pesakit yang sakit dan cedera dari hospital Nasser ke hospital lain di selatan, termasuk hospital medan yang telah ditubuhkan di Rafah,” kata Saparbekov.

"Namun, ia adalah misi yang sangat sukar dan berisiko tinggi."

Tentera Israel telah berundur dari hospital, meletakkan diri mereka berdekatan dan menghalang pergerakan ke sana sebelum menyerbunya sekali lagi, kata Kementerian Kesihatan Gaza.

Tiada sebarang komen segera daripada Israel.

Selama Empat bulan setengah selepas Israel memulakan kempennya di Gaza, hanya 13 daripada 34 hospital di kawasan Palestin itu berfungsi pada tahap separa atau minimum.

Penduduk Gaza yang berjumlah 2.3 juta berdepan kebuluran teruk dan penularan penyakit dalam krisis kemanusiaan yang disifatkan oleh pegawai bantuan sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN