GENEVA, 18 Oktober- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengutuk serangan maut ke atas hospital di Semenanjung Gaza dan menuntut perlindungan terhadap orang awam dan penjagaan kesihatan di Palestin.
“WHO mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas Hospital Al Ahli Arab,” kata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan.
"Hospital itu beroperasi, dengan pesakit, petugas kesihatan, orang terlantar sakit berlindung di sana. Laporan awal menunjukkan beratus-ratus kematian dan kecederaan.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata serangan udara oleh Israel ke atas sebuah hospital di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 200 orang.
Pengarah Kecemasan WHO Michael Ryan berkata serangan terhadap penjagaan kesihatan adalah melanggar undang-undang antarabangsa.
WHO menggesa pengeboman Gaza dihentikan dan penyeberangan sempadan Rafah dengan Mesir dibuka untuk membolehkan bantuan masuk ke kawasan yang dikepung dan disekat.
Ryan menolak kemungkinan bantuan melalui udara ke Semenanjung Gaza.
"Cara paling selamat dan paling berkesan untuk bantuan kepada penduduk Gaza sekarang ialah lintasan Rafah", katanya.
"Bagaimanapun, walaupun sempadan dibuka, "syarat tidak wujud sekarang di dalam Gaza untuk membawa bantuan dan menyampaikannya dengan selamat. Pengeboman mesti dihentikan," kata Ryan.
“Ini tidak boleh menunggu... setiap saat kita menunggu, kita kehilangan nyawa.
"Keganasan perlu dihentikan.
Hospital Al Ahli Arab adalah salah satu daripada 20 kemudahan di utara Gaza yang menghadapi perintah pemindahan daripada tentera Israel, kata WHO.
"Arahan pemindahan adalah mustahil untuk dilaksanakan memandangkan keadaan semasa tidak selamat, keadaan kritikal ramai pesakit dan kekurangan ambulans, kakitangan, kapasiti katil sistem kesihatan dan tempat perlindungan alternatif bagi mereka yang dipindahkan," katanya.
"WHO menggesa perlindungan segera bagi orang awam dan penjagaan kesihatan. Perintah pemindahan mesti dibatalkan.-AFP