fb fb fb fb fb

WHO gesa tingkat pengawasan, bendung Cacar Monyet

GENEVA, 27 Mei - Kira-kira 200 kes disahkan dan lebih 100 kes lagi disyaki jangkitan Cacar Monyet, dikesan di luar daripada negara yang biasanya mengalami penularan penyakit tersebut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis, menggesa negara serata dunia meningkatkan pengawasan bagi membendung penularannya.

Pakar Epidemiologi Kanan WHO, Maria Van Kerkhove berkata setakat ini kes telah dikesan di lebih 20 negara bukan endemik. Tambahnya, agensi itu menjangkakan jumlah tersebut akan meningkat.

Katanya, usaha pengawasan penting kerana perebakan cacar monyet boleh dibendung di negara bukan endemik.


(REUTERS)

"Kami menjangkakan lebih banyak kes akan dikesan. Kami meminta negara meningkatkan pengawasan. Ini adalah keadaan yang boleh dibendung.

"Ia akan menjadi sukar, tetapi ia adalah keadaan yang boleh dibendung di negara bukan endemik" katanya menerusi taklimat secara dalam talian.

Cacar Monyet adalah endemik di negara-negara Afrika seperti Cameroon, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo, dan Nigeria.

Penularan wabak tersebut baru-baru ini, di negara bukan endemik telah menimbulkan kebimbangan.

Kadar kematian akibat penyakit itu adalah kira-kira satu peratus.-REUTERS

Media Baharu