fb fb fb fb fb

WHO gesa tindakan segera hapus ubat palsu, selepas kematian akibat ubat batuk

LONDON, 24 Januari - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa tindakan segera dan selaras diambil untuk menghapuskan ubat-ubatan palsu dan tidak berkualiti di seluruh dunia.

Tindakan itu susulan kematian lebih 300 kanak-kanak kebanyakannya berumur bawah 5 tahun, selepas mengambil ubat batuk yang dilaporkan di Indonesia, Gambia dan Uzbekistan, kata WHO dalam satu kenyataan pada Isnin.

WHO memaklumkan sekurang-kurangnya tujuh negara melaporkan kes seumpama itu sejak empat bulan lalu.

Ubat batuk berkenaan dijual secara berleluasa yang mempunyai tahap dietilena glikol dan etilena glikol yang tinggi.

(FOTO REUTERS)

"Bahan cemar ini adalah bahan kimia toksik yang digunakan sebagai pelarut industri dan agen antibeku yang boleh membawa maut walaupun diambil dalam jumlah yang kecil, dan tidak boleh ditemui dalam ubat-ubatan," kata WHO.

WHO telah menghantar amaran pada Oktober, minta untuk menarik balik ubat berkenaan dari pasaran, membabitkan ubat batuk cecair keluaran Maiden Pharmaceuticals dan Marion Biotech yang dikaitkan dengan kematian di Gambia dan Uzbekistan- REUTERS

Media Baharu