GENEVA, 17 April- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru semua negara supaya melabur lebih banyak dalam perkhidmatan kesihatan mental.
Menurut laporan WHO, satu daripada setiap lapan penduduk dunia mengalami penyakit mental.
Keadaan itu menjadi lebih buruk dengan pandemik COVID-19.
(Foto hiasan)
Pengarah Unit Kesihatan Mental WHO, Mark Van Ommeren berkata, sebelum COVID-19, hampir 1 bilion orang mengalami penyakit mental.
Pada tahun pertama pandemik itu, kadar individu yang mengalami kemurungan dan keresahan semakin meningkat.
Namun, kajian mendapati hanya dua peratus daripada belanjawan kesihatan negara atau kurang satu peratus bantuan kewangan antarabangsa diperuntuk bagi kesihatan mental.
"Semua angka ini sangat, sangat rendah," kata Mark Van Ommeren pada sidang akhbar.
"Minat terhadap kesihatan mental sekarang berada pada tahap tertinggi sepanjang masa disebabkan oleh wabak itu. Tetapi pelaburan dalam kesihatan mental tidak meningkat. Laporan ini memberi maklumat tentang cara melabur wang kesihatan mental mereka dengan lebih baik", katanya.
Beliau berkata laporan itu menunjuk betapa penderitaan itu amat besar di seluruh dunia.
Sementara itu, keadaan lebih teruk bagi mereka yang tinggal di zon konflik, di mana satu daripada lima orang dianggarkan mengalami keadaan kesihatan mental.
"Di mana ada kesukaran, lebih banyak masalah kesihatan mental," tambahnya.
Laporan itu juga menunjukkan jurang yang besar dalam akses kepada penjagaan kesihatan mental antara negara.
Lebih 70 peratus individu yang mengalami psikosis menerima rawatan di negara berpendapatan tinggi, bilangannya menurun kepada 12 peratus di negara berpendapatan rendah, katanya.-AFP.