GENEVA, 19 Mei - Negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) digesa untuk menerima pakai Perjanjian Pandemik minggu ini, yang bertujuan mengelakkan krisis seumpama Covid-19 berulang.
Perhimpunan Kesihatan Sedunia di Switzerland kini sedang bersidang, yang menjadi platform utama bagi badan kesihatan PBB itu membuat keputusan.
"Pada perhimpunan ini, negara anggota akan mempertimbangkan, dan diharap menerima pakai, Perjanjian Pandemik WHO," kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam ucapan pembukaannya.
"Ini adalah detik bersejarah."
Selepas lebih tiga tahun rundingan, teks perjanjian tersebut berjaya dimuktamadkan secara konsensus bulan lalu.
Bagaimanapun, Amerika Syarikat menarik diri daripada rundingan selepas keputusan Presiden Donald Trump untuk memulakan proses keluar dari WHO.
"Walaupun berdepan krisis dan tentangan hebat, anda semua berusaha tanpa henti, tidak pernah mengalah, dan akhirnya mencapai matlamat," tambah Tedros.
Perjanjian itu bertujuan meningkatkan koordinasi antarabangsa dan pemantauan bagi mencegah serta menangani pandemik, di samping memastikan akses yang lebih adil terhadap vaksin dan rawatan.
Rundingan tersebut turut menyaksikan ketegangan antara negara kaya dan negara membangun, yang merasakan mereka tidak mendapat akses mencukupi kepada vaksin ketika pandemik Covid-19.
Perjanjian itu turut berdepan kritikan daripada pihak yang merasakan ia mungkin mencabuli kedaulatan negara.
Negara anggota diberi tempoh sehingga Mei 2026 untuk menyelesaikan butiran mekanisme Pathogen Access and Benefit-Sharing (PABS), yang mengurus akses kepada patogen berpotensi pandemik dan manfaat daripadanya seperti vaksin, ujian, dan rawatan.
Setelah mekanisme PABS dimuktamadkan, perjanjian tersebut akan dibuka untuk ratifikasi.
Sebanyak 60 ratifikasi diperlukan sebelum ia boleh dikuatkuasakan. - AFP