fb fb fb fb fb

EU semak semula pertumbuhan ekonomi, 0.9% berbanding 1.3% sebelum ini

Ketegangan perdagangan global – Pertumbuhan ekonomi EU disemak semula. Foto AFP

BRUSSELS, 19 Mei - Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi Zon Euro bagi tahun ini secara mendadak disebabkan oleh ketegangan perdagangan global yang dicetuskan oleh tarif besar-besaran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Suruhanjaya Eropah menyatakan ekonomi dalam 20 negara yang menggunakan mata wang euro dijangka berkembang sebanyak 0.9 peratus pada 2025 - turun daripada unjuran asal 1.3 peratus.

Penurunan ini disebabkan oleh prospek perdagangan global yang semakin lemah dan ketidakpastian dasar perdagangan yang semakin tinggi.

Unjuran pertumbuhan Zon Euro untuk 2026 juga diturunkan kepada 1.4 peratus, berbanding 1.6 peratus yang dijangka pada November tahun lalu.

"Disokong oleh pasaran buruh yang kukuh dan peningkatan gaji, pertumbuhan dijangka akan berterusan pada 2025, namun pada kadar yang sederhana," kata Ketua Ekonomi EU, Valdis Dombrovskis.

Trump telah mengenakan 25 peratus tarif ke atas import keluli, aluminium, dan automotif dari EU dan negara lain.

EU turut berdepan dengan ancaman tarif tambahan melainkan ia mencapai persetujuan dengan Washington.

Presiden AS itu mengumumkan 20 peratus tarif ke atas kebanyakan barangan EU pada bulan April, bersama dengan duti yang lebih tinggi ke atas puluhan negara lain.

Langkah itu kini ditangguhkan sehingga Julai untuk memberi ruang kepada rundingan, tetapi Trump mengekalkan tarif asas 10 peratus ke atas import dari seluruh dunia, termasuk negara EU.

EU juga mengumumkan bahawa Jerman, ekonomi terbesar dalam blok tersebut, tidak akan mencatatkan sebarang pertumbuhan pada 2025, satu pengurangan yang ketara daripada 0.7 peratus yang diramalkan tahun lalu.

"Risiko terhadap unjuran ini cenderung ke arah negatif, jadi EU perlu mengambil tindakan tegas untuk meningkatkan daya saing kita," tambah Dombrovskis. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI