BANGKOK, 19 Mei - Thailand menurunkan unjuran pertumbuhan ekonominya bagi tahun ini disebabkan ketidaktentuan berhubung tarif perdagangan yang diancam oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Negara Asia Tenggara itu berdepan levi sebanyak 36 peratus sebagai sebahagian daripada tarif timbal balik global yang dicadangkan oleh Washington, melainkan terdapat pengurangan yang dapat dipersetujui menjelang Julai.
Pejabat Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan (NESDC) memaklumkan ekonomi Thailand berkembang sebanyak 3.1 peratus dari Januari hingga Mac berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
NESDC menurunkan unjuran pertumbuhan untuk tahun ini kepada antara 1.3 peratus hingga 2.3 peratus, berbanding unjuran asal sebanyak 2.3 peratus hingga 3.3 peratus.
Setiausaha Agung NESDC, Danucha Pichayanan, menyatakan ketidaktentuan mengenai tarif perdagangan serta penurunan yang dijangkakan dalam jumlah pelancong pada tahun ini sebagai faktor utama penyusutan unjuran tersebut.
"Rundingan perdagangan masih belum selesai dan terdapat beberapa negara lagi yang menunggu giliran untuk berbincang," katanya dalam satu sidang media.
Beliau menambah bahawa keadaan ekonomi pada suku kedua dijangka perlahan, dengan sektor swasta menangguhkan pelaburan sehingga keputusan rundingan perdagangan diketahui.
Thailand turut mengurangkan unjuran jumlah pelancong kepada 37 juta berbanding 38 juta, susulan penurunan jumlah pelancong dari China pada suku pertama tahun ini. - AFP