fb fb fb fb fb

Protes terbesar Belanda: 70,000 desak putus hubungan dengan Israel

Sebahagian peserta mengenakan pakaian simbolik, membawa plakad dan berdiri dalam diam sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin/Viory

THE HAGUE, 19 Mei – Lebih 70,000 orang menyertai perhimpunan aman di The Hague pada Ahad, menuntut kerajaan Belanda memutuskan hubungan dengan Israel susulan serangan berterusan ke atas Gaza.

Perhimpunan yang dianggap sebagai protes terbesar dalam tempoh dua dekad itu dianjurkan di bawah tema ‘Draw the Red Line for Gaza’.

Peserta berpakaian merah dan mengibarkan bendera Palestin sambil membawa sepanduk bertulis slogan seperti ‘Genocide is the red line’.

Lautan manusia berarak sambil menyanyi, melaungkan slogan, dan mendengar ucapan.

Ada yang berpakaian simbolik, membawa plakad, atau berdiri dalam diam sebagai tanda solidariti.

Seorang wakil daripada Save the Children berkata:

“Kerajaan Belanda mengabaikan arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Kami cuba berunding selama hampir 18 bulan, namun tidak berjaya.

"Kini rakyat Belanda sendiri menunjukkan di mana garis merah itu dan ia telah lama dilanggar," kata wakil daripada Save the Children.

 

Peserta berpakaian merah dan mengibarkan bendera Palestin ketika menyertai protes dengan tema ‘Draw the Red Line for Gaza’ di The Hague, Belanda. Perhimpunan itu tanda protes terbesar dalam dua dekad/Foto AFP

 

Selain mengecam sikap berdiam diri kerajaan, para penunjuk perasaan turut mendesak tindakan lebih tegas terhadap penderitaan rakyat Palestin di Gaza yang kekurangan makanan, perlindungan dan rawatan kesihatan.

Menurut polis, kehadiran dianggarkan melebihi 70,000 peserta, namun penganjur mendakwa angka itu mencecah sekitar 100,000 orang.

Perhimpunan itu berlangsung ketika tentera Israel menyambung semula operasi ketenteraan berskala besar di Gaza, susulan kegagalan gencatan senjata sementara pada Mac lalu.

Serangan Israel ke atas Gaza telah menyebabkan lebih 53,000 rakyat Palestin maut dan 121,000 lagi cedera sejak 7 Oktober 2023.

GRACE AISYAH KEDAYAN