HYDERABAD, 19 Mei – Sekurang-kurangnya 17 orang maut dalam satu kejadian kebakaran membabitkan sebuah bangunan tiga tingkat yang menempatkan sebuah kedai barang kemas di Hyderabad, India, awal pagi Ahad.
Insiden tragis itu mencetuskan suasana panik apabila api marak dengan cepat, menyebabkan penghuni bangunan gagal menyelamatkan diri.
Rakaman menunjukkan jentera bomba dan polis mengepung lokasi kejadian, dengan orang ramai dan petugas media memenuhi kawasan berhampiran.
Menurut laporan media tempatan, kebakaran itu bermula seawal pagi dan berjaya dikawal selepas pasukan bomba dikejarkan ke lokasi.
Namun, usaha menyelamat gagal menyelamatkan nyawa kesemua mangsa yang dipercayai berada di dalam bangunan ketika api marak.
Seorang pemimpin tempatan yang ditemui di lokasi berkata, pasukan bomba tiba agak lewat dan kesemua mangsa telah pun meninggal dunia.
"Jabatan bomba tiba dan cuba membantu, tetapi semuanya sudah terlambat. Kesemua 17 orang telah meninggal. Laporan bedah siasat belum dikeluarkan dan siasatan masih berjalan
"Sekarang, siapa yang bertanggungjawab? Kenapa ini berlaku? Bagaimana untuk elak kejadian seperti ini? Semua itu hanya akan diketahui selepas siasatan selesai," katanya.
Menurut media tempatan, api marak dengan pantas sehingga memusnahkan keseluruhan bangunan tersebut.
Jabatan Tindak Balas Kecemasan dan Pertahanan Awam Negeri Telangana mengesahkan senarai nama mangsa yang terkorban.
Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam kenyataan turut melahirkan rasa dukacita terhadap tragedi itu dan mengumumkan bayaran pampasan sebanyak 200,000 rupee (kira-kira RM13,000) kepada waris terdekat setiap mangsa. - VIORY