GAZA, 19 Mei - Tragedi menyayat hati kembali menggemparkan Gaza apabila sekurang-kurangnya 34 nyawa terkorban dan lebih 100 orang cedera dalam serangan yang dilancarkan Israel di kawasan Al-Mawasi, Khan Younis, selatan Gaza.
Serangan berlaku antara malam Sabtu hingga awal pagi Ahad, menyasarkan kawasan khemah pelarian di Al-Mawasi.
Penduduk yang terselamat dilihat mencari barangan dan cebisan mayat mangsa di celah runtuhan.
“Saya sedang mendukung anak perempuan ke bilik lain ketika letupan berlaku. Rumah yang kami bina 30 tahun, musnah sekelip mata. Kami hanya mampu kutip cebisan tubuh anak-anak dari bawah runtuhan.
"Permintaan kami hanya satu, hentikan perang. Kami tidak perlukan bantuan kemanusiaan, makanan atau air. Hentikan sahaja perang ini, dan kami sanggup makan daun untuk terus hidup," kata Umm Zaki al-Kassas.
Insiden berlaku hanya sehari selepas Zionis Israel mengumumkan pelancaran Operasi Gideon’s Chariot, iaitu gelombang baharu serangan berskala besar di Gaza.
Sehingga kini, lebih 53,000 rakyat Palestin terkorban selepas serangan tanpa henti Israel sejak Oktober 2023. - VIORY