DAMSYIK, 19 Mei – Tiga anggota polis terbunuh manakala dua lagi cedera apabila sebuah kereta meletup berhampiran balai polis di Al-Mayadeen, timur wilayah Deir Ezzor, Syria semalam.
"Letupan yang berlaku pada pukul7.13 malam (waktu tempatan) menyebabkan tiga anggota keselamatan terbunuh dan dua lagi cedera," kata Pengarah Bandar Al-Mayadeen, Khalil Abdulmoneim al-Ayoub dalam kenyataan kepada SANA.
Hasil siasatan awal mendapati letupan itu berpunca daripada sebuah kereta yang dipasang bahan letupan berhampiran kawasan balai polis.
Sementara itu, Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) melaporkan seramai lima orang maut dalam kejadian itu.
Ini termasuk empat anggota polis, manakala dua orang awam turut cedera, termasuk seorang kanak-kanak perempuan.
Insiden letupan itu dilaporkan berlaku serentak dengan pelancaran kempen keselamatan oleh Pasukan Keselamatan Am Syria di kawasan tersebut. - AFP