fb fb fb fb fb

Tanah runtuh di lombong emas Indonesia: Enam maut, 14 Hilang

Usaha menyelamat berdepan cabaran kerana lokasi yang terpencil. Foto REUTERS

PAPUA BARAT, 19 Mei - Sekurang-kurangnya enam orang maut dan 14 lagi hilang selepas kejadian banjir dan tanah runtuh di sebuah lombong emas di wilayah Papua Barat, Indonesia.

Menurut Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Tempatan, Yefri Sabaruddin, kejadian yang berlaku pada malam Jumaat itu disebabkan hujan lebat berterusan.

Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari berkata banjir tersebut melanda kawasan perkhemahan pelombong emas tradisional sekitar pukul 9 malam, menghanyutkan khemah dan peralatan mereka.

Empat orang dilaporkan cedera dan menerima rawatan awal daripada penduduk setempat, namun tiada kerosakan besar dilaporkan di kawasan sekitarnya.

Walaupun tidak ada pengesahan rasmi tentang status undang-undang lombong tersebut, kawasan itu diketahui sering menjadi tumpuan pelombong tidak berlesen yang mencari sisa emas tanpa peralatan keselamatan yang mencukupi.

Usaha menyelamat berdepan cabaran kerana lokasi yang terpencil.

Pasukan penyelamat termasuk polis, tentera, dan penduduk tempatan mengambil masa sehingga dua jam untuk sampai ke lokasi, dengan sebahagian perjalanan perlu ditempuh dengan berjalan kaki.

"Kondisi di sana sangat ekstrem kerana beberapa jalan rosak, jadi kenderaan perlu berhati-hati," kata Yefri.

Indonesia sering mengalami kejadian tanah runtuh ketika musim hujan yang biasanya berlaku antara November hingga April.

Pada September lalu, 13 orang maut di sebuah lombong emas haram di Sumatera Barat, manakala pada Julai, 27 orang terkorban dalam kejadian serupa di Pulau Sulawesi. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI